Kontrakku

Sesungguhnya setiap daripada manusia mempunyai ikatan kontrak dengan Allah swt. Iaitu dalam bentuk kontrak tugasan kerja. Ke mana sahaja ia bepergian dan apa sahaja kerja buatnya, ia tidak dapat lari dari ikatan kontrak ini. Dalam mereka sedar atau tidak, sebenarnya ikatan ini telah pun dimeterai dan lebih menarik lagi manusia sendiri yang menandatanganinya tanpa terdapat paksaan padanya. Hal ini telah diperincikan oleh Allah dalam firman-Nya: (bermaksud)

“Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah (agama) kepada langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi semuanya enggan untuk memikul amanah tersebut dan mereka khuatir tidak akan melaksanakannya (berat), lalu dipikullah amanah tersebut oleh manusia. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan jahil” (surah Al-Ahzab, ayat 72)

Apakah kontrak itu?

Berkenaan dengan kontrak ini, ia adalah seperti yang telah dijelaskan oleh Allah swt dalam firman-Nya: (bernaksud)

“Aku tidak menciptakan Jin dan Manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku, Aku tidak mengkhendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak mengkhendaki agar mereka memberi makan kepada-Ku” (surah Az-Zariat, ayat 56-57)

Al-Imam al-Hafiz Abi Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syaraf An-Nawawi dalam mukaddimah kitabnya Riyadussolihin menyebut, “jelas menerusi ayat ini manusia itu diciptakan dengan tujuan ibadah, maka yang sepatutnya ke atas mereka ialah mengambil berat dengan apa yang telah diciptakan untuk mereka, dan berpaling daripada kesenangan hidup dunia dengan bersikap zuhud. Kerana sesungguhnya segala kenikmatan dunia ini akan musnah tanpa adanya peluang untuk kekal. Perjalanan hidup ini adalah ibarat sebuah kapal yang menyeberangi lautan yang bergelora tanpa ada peluang untuk turun berseronok bermandian”.

Manusia tidak dilarang daripada mengambil kenikmatan dan bergembira dunia ini. Tetapi yang dilarang adalah berlebih-lebihan dalam mengejar kesenangan dunia dan berseronok sehingga melupakan tujuan sebenar mereka dicipta. Inilah yang dimaksudkan oleh Al-Imam An-Nawawi di atas tadi supaya berpaling daripada kesenangan hidup dunia dengan bersikap zuhud. Yang mana dalam setiap aspek kehidupan mereka, penumpuan lebih diberikan kepada bekalan akhirat, bukan dunia yang menjadi keutamaan.

Tindakan kita?

Maka setelah difahami tujuan manusia itu dicipta, langkah seterusnya adalah memastikan setiap tindakan dan kerja buat kita menepati kehendak Allah swt. Memastikan setiap perintah dan larangan-Nya diikuti serta diamalkan. Sesungguhnya jalan menuju Syurga-Nya adalah penuh dengan onak dan duri, tidak dapat lari daripada ujian serta cubaan yang mana ianya sudah menjadi sunnatullah. Jika seseorang itu meletakkan keseronokan dunia keutamaanya, sedarilah mereka sebenarnya sedang menempah jalan ke Neraka. Marilah kita hayati sabda Rasulullah saw ini: (maksudnya)

“Jalan ke Neraka adalah dengan mengikut nafsu sahwat, dan jalan ke Syurga dengan onak dan duri” (hadis riwayat Muslim)

Satu perkara yang menjadi asas utama tulisan kali ini ialah, kehidupan ini bukanlah tempat untuk berseronok dengan mengikut segala tuntutan hawa nafsu. Sebaliknya untuk melaksanakan tugasan kerja yang telah diamanahkan Allah swt ini. Yang demikian, jika berlaku pelanggaran kontrak dengan Allah swt ini oleh kita, akibat yang terlalu buruk menanti kita di akhirat kelak.

0 ulasan:

Blogger Templates by Blog Forum