Pembersihan Hati

10 nasihat Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah untuk bersabar agar tidak terjerumus dalam lembah maksiat

Pertama

Hendaklah seseorang hamba menyedari betapa buruk, hina dan rendahnya perbuatan maksiat. Dan hendaklah dia memahami bahawa Allah s.w.t mengharamkan serta melarangnya dalam rangka menjaga hamba dari terjerumus dalam perkara-perkara yang keji dan rendah sebagaimana penjagaan seorang ayah yang sangat sayang kepada anaknya demi menjaga anaknya agar tidak tertimpa sesuatu yang membahayakannya.

Kedua

Merasa malu kepada Allah s.w.t… Kerana sesungguhnya apabila seseorang hamba menyedari pandangan Allah s.w.t yang selalu mengawasi dirinya dan menyedari betapa tinggi kedudukan Allah s.w.t di matanya. Dan apabila dia menyedari bahawa perbuatannya dilihat dan didengari Allah s.w.t, tentu sahaja dia akan merasa malu apabila dia melakukan perkara yang boleh mengundang kemurkaan Rabbnya… Rasa malu itu akan menyebabkan terbukanya mata hati yang akan membuatkan kita berasakan seolah-olah kita sedang berada di hadapan Allah s.w.t…

Ketiga

Senantiasa menjaga nikmat yang telah dilimpahkan Allah s.w.t kepada kita dan mengingat-ingat akan kebaikan-Nya kepada kita……………

Apabila engkau dilimpahi nikmat
maka jagalah, karena maksiat
akan membuat nikmat hilang dan lenyap

Barang siapa yang tidak mahu bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah s.w.t kepadanya maka dia akan disiksa dengan nikmat itu sendiri.

Keempat

Merasa takut kepada Allah s.w.t dan khuatir tertimpa akan hukuman-Nya

Kelima

Mencintai Allah s.w.t… Kerana seorang kekasih tentu akan mengikuti kehendak orang yang dikasihinya… Sesungguhnya maksiat itu muncul diakibatkan oleh lemahnya rasa kecintaan.

Keenam

Menjaga kemuliaan dan kesucian diri serta memelihara kehormatan dan kebaikannya… Sebab perkara-perkara inilah yang akan membuatkan dirinya merasa mulia dan rela meninggalkan pelbagai perbuatan maksiat…

Ketujuh

Memiliki kekuatan ilmu tentang betapa buruknya kesan perbuatan maksiat serta jeleknya akibat yang ditimbulkannya dan juga bahaya yang timbul sesudahnya… Iiaitu berupa muramnya wajah, gelapnya hati, sempitnya hati dan perasaan gundah-gulana yang menyelimuti diri… Kerana dosa-dosa itu akan membuat hati menjadi mati…

Kelapan

Menghadirkan buaian angan-angan yang tidak berguna. Dan hendaklah setiap insan menyedari bahawa dia tidak akan tinggal selamanya di alam dunia. Dan dia mestilah sedar jika dirinya hanyalah sebagaimana tetamu yang datang menyinggah, dia akan segera berpindah dari tempat persinggahannya... Sehingga tidak ada sesuatu pun yang akan mendorong dirinya untuk semakin menambah berat tanggungan dosanya, kerana dosa-dosa itu jelas akan membahayakan dirinya dan sama sekali tidak akan memberikan manfaat apa-apa...

Kesembilan

Hendaklah menjauhi sikap berlebihan dalam masalah makan, minum dan berpakaian. Kerana sesungguhnya besarnya dorongan untuk berbuat maksiat hanyalah muncul akibat dari berlebihan dalam perkara-perkara tadi. Dan diantara sebab terbesar yang mendatangkan bahaya bagi diri seorang hamba adalah… “kelapangan waktu yang dia miliki…” Kerana jiwa manusia secara fitrahnya tidak mahu duduk diam tanpa melakukan apa-apa kegiatan… Sehinggalah apabila dia tidak disibukkan dengan perkara-perkara yang bermanfaat maka tentulah dia akan disibukkan dengan perkara-perkara yang berbahaya baginya.

Kesepuluh

Sebab terakhir adalah sebab yang merangkumkan sebab-sebab di atas… Iaitu kekukuhan pohon keimanan yang tertanam kuat di dalam hati… Maka kesabaran hamba untuk menahan diri dari perbuatan maksiat itu sangat bergantung dengan kekuatan imannya… Setiap kali imannya kukuh maka kesabarannya juga turut akan kuat… Dan apabila imannya lemah maka sabarnya juga turut lemah… Dan barangsiapa yang menyangka bahawa dia akan sanggup meninggalkan berbagai macam penyimpangan dan perbuatan maksiat tanpa dibekali keimanan yang kukuh maka sungguh dia telah keliru.

(Diterjemahkan dari artikel berjudul ‘Asyru Nashaa’ih libnil Qayyim li shabri ‘anil ma’shiyah)

0 ulasan:

Blogger Templates by Blog Forum