Peringatan buat diriku

Sesuatu yang sukar untuk dikerjakan adalah beristiqamah terhadap sesuatu amal kebaikan. Dalam Al-Quran disebut oleh Allah mengenai istiqamah ini, begitu juga Rasulullah s.a.w memperkatakan mengenainya ketika mana diminta seorang sahabat agar memberi nasihat kepadanya. Sabda Rasulullah s.a.w "beriman kepada Allah kemudian beristiqamahlah dengannya". Ya sungguh sukar untuk terus beristiqamah di atas kebaikan. Contohnya solat berjemaah di masjid. Taktala iman penuh di dada dengan mudah diri melawan hawa nafsu seterusnya melangkahkan kaki ke masjid. Namun ketika menurunnya iman, ini yang menjadi masalah dan menjadi penyebab gagalnya kita melangkah ke masjid walaupun jarak masjid dari rumah sangatlah dekat.


Apabila demikian, kita sebenarnya memerlukan bantuan luaran sabagai penguat untuk membantu kita melawan nafsu jahat ini. Nafsu yang sentiasa menghasut kerana tidak mahu lihat kita solat berjemaah di masjid. Bantuan ini boleh kita dapati melalui:

= tinggal bersama-sama insan solih, yang kaki solat berjemaah dan paling utama mereka akan membantu ketika krisis keimanan menurun melanda.

Di sini jelas, dalam menjalankan tugas sebagai seorang muslim, kita sebenarnya tidak boleh berseorangan. Sebagai penjelasan mudah, jika kita berseorangan dan ketika itu kita ditewaskan godaan nafsu dan hasutan syaitan, tiada yang dapat membantu kita maka akibatnya kita melalaikan tanggugjawab sebagai seorang muslim. Sebaliknya kita perlu hidup dalam kelompok yang sentiasa mengamalkan ajaran Allah dan Rasul-Nya kerana di sana terdapatnya kekuatan.

= berada dalam kelompok tarbiah serta suasananya dan merelakan diri ditarbiah.

Kita lihat kembali sirah bagaimana Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya menjalani kehidupan. Yang mana Rasulullah s.a.w sebagai pentarbiah dan para sahabat merelakan dirinya ditarbiah. Manakala Rasulullah s.a.w pula menerima tarbiah langsung daripa Allah s.w.t melalui malaikat-Nya Jibril a.s yang mana keseluruhan isi kandungan dan modul tarbiah semuanya terkandung dalam Al-Quran. Kesannya Rasulullah s.a.w menjadi semulia-mulia makhluk dan para sahabatnya mendapat faedah daripada tarbiah Rasul yang menjadikan mereka diredhai Allah s.w.t.

Kesimpulannya, pastikan diri berada dikalangan insan-insan solih dan meletakkan diri di dalam kelompok tarbiah dan suasananya dan paling penting relakan diri ditarbiah. Jangan dilupakan, tarbiah tersebut mestilah berpandukan ajaran Al-Quran dan sunnah Rasul-Nya, maka di sini kita merelakan diri ditarbiah. Jika sebaliknya, tiada ketaatan padanya kerana kaedah usul menyatakan "tidak ada ketaatan terhadap perkara-perkara maksiat". Semua ini perlu untuk kehidupan seorang muslim, lebih-lebih lagi bagi melahirkan insan-insan yang akan berjuang menegakkan agama Allah yang mulia ini.


0 ulasan:

Blogger Templates by Blog Forum